Selepas Olimpik di Tokyo, tirai dibuka buat seniman negara mempamerkan karya di Fukuoka

Tigabelas seniman negara turut mengharumkan nama Malaysia di Asian International Art Exhibition (AIAE) ke 29, di Muzium Seni dan Kebudayaan Kyushu Geibun-kan, Fukuoka, Jepun.

Oleh DANIAL BIN FUAD

Sedang Tokyo menjadi tumpuan bagi rakyat Malaysia menyokong para atlet, terdapat sesuatu yang tidak kurang menarik berlaku lebih 1,000km dari pentas Olimpik, iaitu di Fukuoka. Lebih 200 karya sedang dipamerkan oleh seniman visual daripda Jepun, Korea Selatan, Singapura, Filipina, Indonesia, Mongolia, China, Taiwan, Thailand, Vietnam, Hong Kong, Macau dan artis Malaysia tidak kurang hebatnya.

Dianjurkan buat kali yang ke-29, Asian International Art Exhibition (AIAE) ini telah dimulakan pada tahun 1985 oleh Prof. Ryu Kyung-Chai (Korea), Prof. Kuo Jen (Taiwan) dan mediang En. Soseki Akiyoshi (Japan).  Malaysia merupakan negara kelima yang menyertai AIAE pada tahun ketiga mereka di Jepun pada tahun 1988; kini AIAE telah berkembang dan disertai oleh 13 negara Asia. AIAE ini merupakan pameran tahunan digerakkan oleh Federation of Asian Artists (FAA) yang telah tertubuh pada tahun ketujuh AIAE. Lokasi pameran bertukar setiap tahun dan Malaysia telah menjadi negara penganjur sebanyak tiga kali pada tahun 1990, 1998 dan 2009 di mana kesemuanya berlangsung di Balai Seni Negara.

Pameran ini sepatutnya berlaku pada tahun 2015 di Vietnam akan tetapi telah ditangguhkan oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan AIAE dihentikan untuk seketika waktu. Namun begitu, FAA – Jawatankuasa Jepun telah membuat keputusan untuk memulakan kembali AIAE.

“Saya mendapat berita bahawa AIAE akan dimulakan semula apabila saya bertemu dengan Pengerusi Komiti Jepun, Prof Norito Udagawa pada pembukaan pameran 9th International Art Exhibition Qingdao pada 2018” ujar Dr. Choong Kam Kow yang merupakan Pengerusi bagi FAA – Jawatankuasa Malaysia.

Dr Choong Kam Kow’s Co-Exist 19: Contemporary & Traditional

Muzium Seni dan Kebudayaan Kyushu Geibun-kan, Fukuoka telah dipilih sebagai lokasi pameran dan seramai 13 orang seniman mewakili Malaysia. Seniman yang terlibat kebiasaannya merupakan ahli FAA sendiri, namun begitu, Dr. Choong Kam Kow telah menyatakan “Disebabkan oleh kesihatan dan hal lain, beberapa ahli tidak dapat menyertai pameran ini”. Meskipun begitu, seniman muda dan “mid-career” telah diberikan peluang untuk berpameran bersama kali ini. Barisan seniman yang terlibat adalah Awang Damit Ahmad, Amierul Iskandar Hamdzan, Aizat bin Ahremi, Azlan bin Ismail, Dr. Choong Kam Kow, Anna Chin Chui Han, Hamidi Abdul Hadi, Hoe Say Yong, Ng Kim Heoh, Norlisham Selamat, Jack Ting Mui Chii, Tham Siew Moi dan June Yap Kwee Yin.

Penulis dapat melihat dua tema utama dalam karya-karya bagi pameran ini. Majoritinya telah memilih pengalaman sendiri sebagai cerminan dalam karya mereka. Awang Damit Ahmad dengan karya abstraknya Pintu (The Door)… “Oriental Aesthetics” menceritakan tentang pengalaman mencari makna kehidupan melalui nilai-nilai kemanusiaan sepanjang karier beliau sebagai seniman. Dalam karya Isolated oleh Amierul Iskandar Hamdzan pula menceritakan falsafah hidup beliau terhadap pencarian kesempurnaan dalam kehidupan yang tidak akan tercapai; kerana manusia tidak sempurna.

Peralihan rohani menuju kearah kebaikkan adalah apa yang Azlan bin Ismail cuba sampaikan di dalam siri The Arrival beliau. Pengalaman yang dilalui seniman sepanjang peralihan beliau telah diluahkan dalam karyanya. Dr. Choong Kam Kow pula dalam karya beliau Co-Exist 19: Contemporary & Traditional menceritakan tentang kewujudan bersama aspek-aspek tradisional dan kontemporari. Gabungan corak-corak tradisional yang digunakan disertakan dengan kod QR di mana orang ramai boleh mengimbasnya untuk mengetahui lebih lanjut tentang siri Co-Exist beliau menguatkan lagi diskripsi karya beliau.

Jack Ting juga menceritakan tentang pengalaman evolusi kehidupan tradisional ke arah lebih moden dengan mengolah subjek tradisional seperti tarian pahlawan, topi tradisi dan bulu burung enggang ke arah abstrak untuk menceritakan peralihan zaman dulu ke sekarang mengikut perkembangan zaman.

Hamidi Abdul Hadi merupakan seniman yang cukup meminati eksplorasi bahan dan sering menjadikan alam semulajadi sebagai inspirasi utamanya. Lanskap daripada menggabungkan dakwat China yang sering digunakannya dalam karya kertas dan cat akrilik dapat mencipta permandangan hutan yang cukup indah.

Mengambil tema refleksi secara literal pula merupakan karya Morning Breeze oleh Hoe Say Yong yang menjadikan permukaan air sebagai subjek utama. Bagi beliau, proses dan keadaan pemikiran ketika berkarya juga penting selain daripada hasilnya. Menurutnya, melalui proses menghasilkan karya ini, beliau telah menggunakan masa itu untuk refleksi atau muhasabah diri. Norlisham Selamat juga menceritakan tentang pengalamannya sendiri yang telah diluahkan di atas kanvas dengan menggunakan teknik “grid”. Ketakjuban beliau dengan keindahan gabungan seni visual dan matematik juga merupakan antara sebab “grid” digunakan.

Selain daripada pengalaman hidup, apa yang penulis dapat lihat ialah para seniman terlibat menceritakan tentang kasih sayang dalam karya mereka. Aizat Ahremi dalam karyanya More Attention menceritakan kasih sayang dan kesetiaan ibunya terhadap bapanya menghadapi segala dugaan dan cabaran ketika bapanya menghidap kanser. Penulis amat tertarik dengan pengunaan kain perca dalam karyanya adalah sebuah penghormatan buat ibunya yang berkerja sebagai tukang jahit.

Anna Chin Chui Han’s The Growth Within

Terdapat pelbagai objek seperti meja, sarung tangan getah, durian, malah dua orang seakan memakai baju seragam sekolah dalam karya Anna Chin Chui Han, The Growth Within. Karya ini menceritakan tentang keindahan wanita & semangat juang para ibu. Sama seperti Anna Chin, June Yap Kwee Yin juga menceritakan tentang keindahan kasih sayang ibu tidak kira di mana jua dengan karyanya Love Series No. 32. Terdapat sebuah figura wanita yang mendukung anak kecil berlatarkan rumah dibuat daripada jerami seakan melambangkan kehidupan di Benua Afrika.

Ng Kim Heoh pula meluahkan karyanya dengan corak segi enam di mana beliau menegaskan bahawa bentuk itu mewakili perasaan cinta, perlindungan, penyatuan dan kestabilan rumah tangga. Karya beliau, Conception of Happiness (gambar yang dipaparkan diatas) menceritakan tentang kebebasan dan perkembangan rohani bagi mencapai kebahagiaan dalam hidup. Sebagai seorang vegetarian, Tham Siew Moi mengambil berat tentang alam sekitar dan ini telah ditafsirkan dalam karya Tree of Life beliau yang menggunakan motif alam semula jadi seperti buah-buahan dan unggas sebagai subjek utama.

Mungkin disebabkan keadaan semasa yang tidak menentu akibat dari wabak yang melanda, membuatkan para seniman yang mempamerkan karya mereka dalam AIAE dari sisi diri mereka yang lebih mendalam. Oleh kerana sekatan pergerakan, banyak masa terluang digunakan sebagai ruang untuk refleksi diri. Cukup banyak kisah derita yang kita dengari sejak kebelakangan ini, mungkin sebagai sinar harapan buat semua, seniman memilih untuk ekspresikan keindahan cinta yang diluahkan dengan teliti melalui karya mereka.

Untuk itu, kumpulan editorial BASKL ingin mengucapkan tahniah buat para seniman yang terlibat dalam Pameran 29th Asian International Art Exhibition ini kerana telah membawa nama Malaysia di mata dunia. Sesungguhnya seniman Malaysia tidak kurang hebatnya seperti para atlet kita yang berjuang di Tokyo untuk Olimpik.

Bersempena Bulan Kebangsaan Malaysia, marilah kita sama- sama memberi semangat bukan sahaja buat mereka yang telah mengharumkan nama Malaysia, malah sesama kita, agar kita kuat untuk menempuh cabaran covid-19 bersama! Pameran ini berlangsung sepanjang Ogos 2021 di Muzium Seni dan Kebudayaan Kyushu Geibun-kan, Fukuoka dan keterangan lanjut boleh didapati melalui laman sesawang mereka.

Tags:

5 comments

  1. Dr Mar Ja

    11 August 2021

    Nice work

  2. JackTing(Ting Mui Chii)

    11 August 2021

    Thank you very much

  3. Norlisham

    11 August 2021

    Thank you so much for the writeup. Very motivating and inspiring. Its a good recommendation too. I’m glad to be a part of this team. Thanks.

  4. Anna Chin Chui Han

    11 August 2021

    Dear DANIAL BIN FUAD, thank you very much for such a well written article about our participation for the 29th AIAE exhibition in Japan. Truly appreciate for such an encouraging and supportive gesture you have provide here. Thank you.

  5. Thank you for the writing, artists need motivation n encouragement especially in this tough time

Comments are closed.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites